Assalamualaikum.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"
-------------------------------------------
Penumpang di belakang tersentak dari tempat duduk kerana terkejut 'sakan'. Hati yang tadi tenang dibuai mimpi yang indah tak indah, terus segar-bugar. Mata yang kuyup dan menyempit, terbeliak dibuatnya. Segala kedamaian dan ketenangan yang dikecapi, hilang serta-merta. Alunan Al-Quran tidak lagi dipedulikan (buat masa ini la). Hati terus berkecamuk. Debaran semakin terasa.
"Habislah kereta!" Itulah perkataan pertama yang muncul dari mulut hati saya. Perkara pertama yang bermain ligat dalam kepala saya ketika itu ialah tengkingan oleh Ayah yang disayangi. Ini dah masuk kali ke berapa kereta Iswara miliknya tercedera akibat kecuaian saya. Tapi, kali ini lebih teruk. Betul-betul berlanggar dengan divider yang menghasilkan pekikan suara kereta yang kuat. Seolah-olah mengaduh kesakitan. Nasib baiklah ada divider. Kalau tidak, sudah tentu kereta saya akan terbabas memasuki lorong yang bertentangan di kala traffik yang betul-betul sibuk ketika itu. Walaupun begitu, semuanya dalam perancangan ALLAH Yang Maha Mengatur.
Selepas selesai menghantar penumpang terakhir (yang masih berada dalam keadaan kaku itu...hehe), saya menuju ke masjid berhampiran, Masjid Muhammadi. Sebaik sahaja kereta itu selamat diparking, disemak dan diperiksa akan keadaan kereta. Alhamdulillah, kerosakkan yang dialami tidak seteruk seperti yang dibayangkan. Di kala itu, hati dan otak ini berada dalam keadaan hairan, bagaimana bunyi yang sekuat itu hanya meninggal calar-balar sahaja ? Beserta dengan sebilangan toresan pada badan dan tayar kereta? Walaupun begitu, mulut ini memanjang beristighfar dan bertahmid. Terima kasih, Ya ALLAH!
Selesai menunaikan beberapa perkara sunat di masjid yang disinggahi, saya kembali memandu. Sekarang, destinasi saya ialah rumah seorang kawan. Dalam masa itu, semua memori kembali menyinggah di benak fikiran saya. Terus terdetik di hati akan kenapa ini semua boleh terjadi? Pada masa yang sama, terdetik juga untuk berkongsi pengalaman yang mengerikan (tapi manis kerana sesuatu pengalaman itu tidak boleh dijual beli) bersama pembaca blog yang saya kasihi sekalian.
"HIDUP DI DUNIA, INSAN MUDAH ALPA DAN LEKA"
-----------------------------------
1. Kekadang, kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Walaupun begitu, bagi sesetengah keadaan dan perkara, ALLAH memperlihatkan tanda-tanda akan berlakunya sesuatu. Contohnya tanda-tanda Hari Kiamat. Begitulah juga (pada hemah penulis sahaja) dengan bayangan 2 kereta yang hampir melanggar kereta penulis sebelum tercetusnya kemalangan tersebut. Jadi, apabila terlihatnya sesuatu yang tidak pernah kita alami, bersiap-sedialah. Mungkin ada sesuatu sudah tersedia untuk anda di hadapan sana. Bi iznillah.
2. Memandu dalam keadaan mengantuk boleh disamakan dengan keadaan seseorang yang sedang berjalan tanpa haluan. Ikut sahaja kaki hendak ke mana. Selagi mana bertenaga, selagi itulah kaki akan terus melangkah. Ya! Bila datangnya satu kemalangan (atau diertikan dengan ujian), perasaan mengantuk ini akan terus hilang. Begitulah dengan kaki yang tadinya berjalan tanpa arah tujuan, terhenti tiba-tiba. Umpama jatuh ke dalam lubang besar. Pabila tersedar diri berada dalam kegelapan (dalam lubang), diri akan berusaha untuk memanjat keluar dari lubang itu. Selepas berjaya, diri akan jadi lebih berwaspada. Kaki yang dahulunya dibiarkan berjalan tanpa panduan dan didikan, akan diberi perhatian. Agar tidak terjatuh lagi ke dalam lubang yang sama atau lubang yang lebih besar.
Ya! Beginilah ujian bertindak. Sebagai pemberi kesedaran kepada diri yang lalai dan sekali gus menjadikan diri lebih berwaspada pada masa mendatang.
" BERHATI-HATILAH DI JALAN RAYA,
BERHATI-HATILAH DI DUNIA FANA"
"Always remember ALLAH"


.jpg)





