CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, August 30, 2009

Disebalik kisah IIUM

بسم الله الرحمن الرحيم.

الحمد لله رب العالمين.

الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين.

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakaatuh….

Terima kasih kerana sudi untuk melayari laman blog ini dan meluangkan sedikit masa untuk membaca entri-entri yang dipaparkan di dalam blog yang kurang sempurna ini.

InsyaALLAH, entri pada kali ini akan membahaskan antara sebab-sebab utama kenapa saya memilih IIUM sebagai pusat pengajian saya seterusnya. Segala yang ditulis di sini datang daripada ilmu penulis yang amat sedikit. Oleh itu, segala kekurangan dan kesilapan mohon dimaafkan. Sesungguhnya, ALLAHlah tempat sebaik-baik kembali.

ءانا لله وءانا ءاليه راجعون

Pendahuluan

Pembaca budiman sekalian,

Sering kali, apabila datang 2 pilihan, dimana salah satunya ialah pilihan yang akan membawa kita ke arah impian kita, kita akan segera memilih pilihan tersebut. Lebih-lebih lagi, kita sudah menunggu untuk satu tempoh masa yang lama untuk mengapai apa yang kita mahukan. Oleh itu, pabila dua pilihan ini datang, kita tanpa segan-silu, pastinya, memilih pilihan itu. Ditambah lagi keyakinan kita bahawa pilihan yang dipilih itu tidak memberi sebarang kemudharatan kepada kita (dengan bahasa lebih mudah, tidak mengandungi dosa). Dengan itu, kita akan membuat pilihan dengan terburu-buru kerana tidak ada perkara yang perlu dirisaukan.

Firman ALLAH s.w.t : “Boleh jadi sesuatu yang kamu benci itu amat baik untuk kamu dan boleh jadi sesuatu yang kamu sukai pula amat buruk untuk kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” [Al-Baqarah,2 : 216]

Tetapi, pernahkah saudara yang dikasihi teringat akan firman ALLAH di atas ? Pernahkah saudara berfikir sejenak memikirkan ayat di atas ? Apakah saudara membuat keputusan berdasarkan hawa nafsu semata-mata atau kerana impian saudara atau kerana apa ? Apakah matlamat atau impian saudara yang saudara sanjungi sangat itu ? Apakah matlamat hidup seorang Muslim sejati ? Adakah matlamat hidup saudara dan matlamat hidup Muslim adalah sama ? Adakah dengan membandingkan persamaan kedua matlamat ini membolehkan saudara mengatakan bahawa saudara ialah Muslim sejati ? Atau hanya manusia bertopengkan nama Muslim semata-mata ? Dan jikalau sama matlamat saudara dengan matlamat UTAMA Muslim (yakni manusia), adakah pilihan yang dibuat itu ialah jalan menuju ke arah matlamat tersebut ? Apakah matlamat hidup seorang yang bergelar manusia ?

Firman ALLAH s.w.t : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” [Al-Baqarah,2 : 30]

dan Firman ALLAH s.w.t : “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [Adz-Dzariyat,51 : 56]

Apakah ini matlamat hidup saudara pembaca sekalian (peringatan untuk diri ini jua!!!). Kalau YA, Alhamdulillah.

(Tarikh dan hari yang dikemukakan mungkin lari daripada tarikh yang sebenar.)

Asalnya, saya sentiasa bercita-cita untuk melanjutkan pengajian saya dalam negara sahaja. Tetapi, bermula tahun 2008 (tahun saya menduduki peperiksaan STAM), saya mula tertarik untuk menyambung pengajian saya di Kaherah, Mesir dalam bidang Usuluddin untuk program Ijazah saya. Perasaan dan cinta saya kepada negara Mesir semakin hari semakin mendalam sehinggalah saya dapat membayangkan akan keindahan suasana Mesir di hadapan mata saya. Hari-hari nama Mesir akan menghinggap ke dalam minda saya. Perasaan ingin ke Mesir terus membara hari demi hari. Dari awal tahun hinggalah tahun berikutnya, yakni tahun ini. Genap satu tahun dan beberapa bulan, perasaan ini sampai kemuncaknya apabila saya telah selesai berdaftar dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk menyambung pengajian di sana, siap dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM500. Saya juga telah menjalani kursus Bahasa Arab Intensif selama 2 minggu yang dianjurkan oleh pihak YIK sebagai persiapan untuk pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah. Bukan diri ini sahaja yang membayangkan bahawa saya akan meneruskan pengajian di Mesir, bahkan seluruh ahli keluarga saya, sanak-saudara, ustaz-ustazah, cikgu-cikgu, kawan-kawan apatah lagi, sudah pun menganggap bahawa saya adalah salah seorang pelajar Universiti Al-Azhar. Semua persediaan telah diatur dengan sempurna. Segala keperluan dicari dan didapati. Bak kata orang, sebut sahaja bila hendak berlepas ke Mesir!



Tujuanku

24 JUN 2009 (Rabu),

Hari yang penuh hikmah. Hanya ALLAHlah tempat kembali maksud semua dan segala hikmah akan segala sesuatu yang berlaku dan akan berlaku. Firman ALLAH s.w.t : “Dan mereka (manusia) itu pun merancang, dan Allah juga merancang; dan (ingatlah), Allahlah sebaik-baik perancang.” [Al-Baqarah,3 : 54]. Pada hari ini, keputusan mengejut terpaksa dibuat oleh saya. Suka atau tidak, itu bukan persoalannya. Masalahnya, adakah saya dapat menerima takdir yang telah ALLAH tentukan untuk saya ini?

Firman ALLAH s.w.t : “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.” [Luqman,31 : 34]

Sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui apa yang kita semua tidak ketahui. Salah satunya ialah ‘Takdir’ yakni Qada’ dan Qadar. Pada hari ini, saya terpaksa menerima hakikat bahawa saya tidak dapat lagi memenuhi impian saya untuk melanjutkan pengajian ke Mesir. Panjang cerita jikalau saya ingin menceritakan secara perinci. Tetapi, secara menyeluruhnya, saya melakukan ini semua (memilih IIUM untuk meneruskan pengajian saya dengan meninggalkan Mesir) kerana :

1. Tujuan hidup utama saya ialah untuk mencapai مرضات الله (Keredaan ALLAH)

2. Mencapai keredaan kedua ibu-bapa saya. Kerana Keredaan ALLAH terletak pada keredaan kedua ibu-bapa.

Oleh itu, apa sahaja akan saya lakukan untuk mencapai matlamat saya itu. Ramai orang berkata : “Hamidi, kamu ini terlalu mengikut kemahuan ibubapa kamu. Kamu tak ada kebebasan langsung untuk memilih dan mengikuti kemahuan kamu.!” Saya jawab : “Inilah pilihan saya! Saya yang memilih untuk mengikuti kemahuan mereka.” Memang tidak dinafikan kekadang saya berasa tertekan dengan ini semua. Tetapi demi ALLAH Yang Maha Mencipta, yang telah menciptakan saya, saya gembira lakukan ini semua, kerana saya gembira dan suka apabila dapat melihat kegembiraan yang lahir daripada wajah kedua ibubapa saya setelah saya dapat menunaikan impian dan kemahuan mereka. Semoga apa yang saya lakukan ini, dapat diikuti oleh anak-anak saya. Saya tidak mahu menderhaka kedua ibubapa saya, dan seterusnya anak-anak saya akan derhakai saya, dan seterusnya keturunan kami akan rosak disebabkan keegoan saya untuk berkorban demi kedua ibu-bapa saya.

Assalamualaikum...

















"Always remember ALLAH"

Friday, August 7, 2009

Nasihat dari ICK

Assalamualaikum...

Pembaca budiman sekalian...
Maaf kerana sudah lama tidak meng'update'...
Sebenarnya, terasa sedikit kemalasan, ditambah pula dengan kesibukan yang mungkin benar atau kesibukan yang direka sahaja. Apa-apa pun, beberapa hari ini, saya kurang melibatkan diri dalam alam maya ini. Saya hanya menaip komputer dalam keadaan 'offline'. Itu pun dalam jangka masa yang singkat.


Oleh kerana itu, saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca yang tertunggu-tunggu akan entri baru. Walaupun saya mengetahui bahawa saya telah kehilangan ramai pembaca. Walau bagaimanapun, saya akan cuba untuk meng'update' sekerap mungkin. InsyaALLAH.


Tentang permintaan akan entri mengenai "Kemasukan Saya ke UIA", sekarang tengah diusahakan. Segala kelewatan amat dikesali.

----------------------------


Seperti biasa, marilah kita merenung akan satu artikel (Artikel ini diambil dari Yahoo! Group milik ICK -Insan Cemerlang Konsultansi-)



Tiga Cahaya Di Hari KiamatDi hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :
* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari..


Apabila ditanya cahaya apakah ini ?
Lalu dijawab :"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yangketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci danmengambil air sembahyang apabila terdengar azan.Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil airsembahyang sebelum azan.Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari.Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."



"Always remember ALLAH"

Wednesday, July 15, 2009

Permulaan Kelas

Assalamualaikum...
Alhamdulillah... Was sholatu was salamu 'ala Ashrafil Anbiya'i wal Mursalin...

Salam sejahtera buat pembaca sekalian.
Semoga ALLAH melimpahkan Rahmat-Nya keatas kita semua.

Pembaca yang dirahmati,
Penulis memohon maaf atas kelambatan meng'update' entri baru untuk renungan kita semua. Minggu ini, IIUM Gombak baru memulakan sesi pembalajaran. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Daftar kuliah, cari kelas, beli buku dan seumpamanya. Seperti kata kebanyakan golongan muda masa kini : "Aku sibuk la. Tak de masa!"

Ye, biasalah, Dunia! Semakin dikejar, semakin jauh. Sudah ada, mahu ditambah. Seperti sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) : "Kiranya anak Adam itu mempunyai 2 lembah harta, tentu mereka menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah kubur-kuburnya" - Riwayat Muslim.

Manusia sentiasa leka dengan dunia. Menyebabkan mereka lupa akan asal-usul mereka! Siapa diri mereka sebenarnya? Apa tujuan mereka datang ke Dunia ini? Ke mana mereka akan pergi? Adakah tugas mereka hanya mengejar dunia semata-mata? Atau ada tugasan yang lebih utama dan afdal? Dan yang paling penting, adakah benar kita ini seorang MUSLIM? Atau sekadar memakai pakaian 'muslim' sahaja?

Wahai sahabatku sekalian, ayuh! Bangun! Dan sedarlah dari mimpi yang melenakan.

(p/s : entri kali ini agak pendek, kerana saya kekurangan waktu untuk menulisnya. Maaf. Segala cadangan dan komen untuk blog ini, bolehlah dikemukan untuk kebaikan kita semua. Segala salah dan silap, harap diperbetulkan.)

Assalamualaikum.
"Always remember ALLAH"

Friday, July 3, 2009

Ujian Penilaian (Placement Test)

Assalamualaikum.

Saya baru sahaja selesai APT Skills (Arabic Placement Test). Ujian ini akan menentukan samada pelajar layak untuk terus ke Kuliah atau dikenakan kelas tambahan untuk bahasa tertentu. Baru-baru ini, pelajar-pelajar baru IIUM dikehendaki mengambil dua peperiksaan, EPT (English Placement Test) and APT. Dan ujian itu baru sahaja tamat pada hari ini.

Melalui ujian ini, para pelajar dapat menilai sejauh mana ilmu yang dimiliki oleh mereka selama mereka mengaji/belajar sebelum ini. Dalam penilaian ini, tidak ada soalan spot seperti peperiksaan di sekolah. semuanya on the spot! Ilmu-ilmu yang dipunyai dikerah untuk menjawab soalan yang ditanya. Pening, tidak paham, tidak sempat menjawab dan seumpanya adalah kata-kata biasa yang akan terpancul dari mulut pelajar-pelajar setelah keluar dari dewan. erm.. kekadang saya pun mengeluh. hehe.

Bagi pelajar IRK (Islamic Revealed Knowledge), BARB (Bachelor in Arabic) dan Law Syariah, kami dikehendaki mengambil satu ujian lagi yang tidak diambil oleh pelajar aliran lain, iaitu APT Skills. Ada 4 kategori : Reading, Writing, Listening and Speaking. Yang paling ditakuti ialah semua kategori ini dalam bahasa Arab. Haih! Susah susah.

Merenung jawapan yang saya telah tuliskan dalam ujian, terdetik di hati, "Sikitnya ilmu yang saya ada. Haih, ini saja ke hasil 11 tahun saya mengaji?". Mengeluh. Itulah yang dapat saya lakukan dalam dewan peperiksaan. Walaupun begitu, meniru bukanlah tabiat saya. Lagipun, dengan suasana dan persekitaran yang baru, tidak ada seorang pun yang mahu namanya dikotori dengan gelaran 'si peniru'. Dan mungkin perkara inilah yang menjadikan dewan peperiksaan sunyi dari sebarang suara melainkan suara pengawas. Aman dan damai.

Otak diperah. Pensel digoyangkan. Kaki digerak-gerakkan. Kerusi dibetulkan. Itulah yang terpaksa dilakukan bila semua idea dan ilmu telah habis dicurahkan ke atas kertas peperiksaan. Pedih. Di geruni pula dengan bunyi detikan jam yang sentiasa bergerak tanpa henti. Berdebar.

Kehinaan dan kemaluan berterusan ketika ujian terakhir, Speaking. Hah? Bila kaki menjejak ke dalam dewan, bila badan direbahkan di atas kerusi, otak terus 'blank'. Dihadapan, seorang berbangsa Turki, sebagai pengujiku? Lemah-lemah. Walaupun begitu, soalan ditanya, jawapan dikemukan sedikit sebanyak. Banyak juga yang tergagap-gagap.

Begitulah hidup. Terasa aman. Ilmu tidak penting. Belajar bila perlu. Belajar untuk lulus ujian. Dah habis, hilang! Bila datang ujian baru, belajar lagi. Yang baru ingat, yang lama entah kemana. Hasilnya? Anda jawablah sendiri.

Begitulah juga dengan dunia. Terasa aman. Mati itu orang lain punya. Kita? Lambat lagi mungkin? 10-20tahun lagi. Kahwin pun belum. So, tidak perlu la bersiap-siap untuk jawab soalan mungkar nakir. Tidak perlu la ready untuk masuk syurga. Enjoy dulu la. Nanti tua, dah tak ada nikmat hidup dah. Bukankah begitu?

Renung-renungkanlah...

" ILMU DICARI, BUKAN DITUNGGU
UNTUK MATI, SIAPLAH OLEHMU "

Assalamualaikum.
"Always remember ALLAH"

Monday, June 29, 2009

IIUM

Assalamualaikum.

Inilah tempat penulis berada sekarang.
Doakan penulis tetap berada pada jalan yang benar.

Banyak betul dugaan di sini. Kelihatan simple, tetapi, boleh membawa parah jika tersilap langkah. Apa-apa pun, petunjuk daripada ALLAh s.w.t itulah yang terbaik. Selalulah solat berjemaah dan mohon doa daripada-Nya. Moga-moga ALLAH mempermudahkan urusan hidup kita. Dan moga-moga ALLAH tetapkan dan kuatkan hati kita. InsyaALLAH.

Doa-doalah sesama kita, sesama muslim.

p/s: Sebenarnya terdapat salah faham yang telah berlaku dalam kalangan roomates penulis. Doakanlah semoga masalah ini akan selesai mengikut jalan betul dan mendapat keredaan ALLAH s.w.t. InsyaALLAH.

Assalamualaikum.

"Always remember ALLAH"

Friday, June 26, 2009

-Rest-

Assalamualaikum.

Disebabkan sesuatu hal, penulis terpaksa berehat daripada penulisan ini untuk sementara waktu.

Terima kasih kerana sudi menjenguk.^^
Assalamualaikum.

"Always remember ALLAH"

Thursday, June 18, 2009

Kemalangan II - Penyedar Mimpi

Assalamualaikum.

Firman ALLAH S.W.T :



"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"
[Surah Al-Mulk : Ayat 2]

-------------------------------------------

18 Jun (Khamis)
Sama seperti semalam, saya ditugaskan untuk menghantar adik serta 3 orang yang sekampung dengan saya ke sekolah-sekolah mereka. Tapi, kali ini, mata saya agak berat sedikit untuk dibuka dan tenaga dalaman kira-kiranya tidak segagah semalam. Ini semua gara-gara kelewatan tidur pada malam sebelumnya.

Walaupun begitu, saya tetap menggagahi diri untuk memandu kereta. Perjalanan agak normal dan stabil pada awalnya walaupun kami bertolak sedikit lewat daripada kebiasaan. Perjalanan diteruskan. Kaset bacaan Al-Quran alunan Syed Ahmad Al-Ghamidi diputarkan dan dibiarkan beralunan di ruang legar kereta Iswara ini.

Keletihan kian terasa dan mata semakin kuyup saban minit. Sesekali sempat saya melelapkan mata ketika menunggu lampu merah bertukar hijau. Keadaan lebih parah apabila saya terlelap sekejap di Jalan Bayam (nota:jalan ini agak sesak sedikit kerana kesempitannya). Dalam sedar dan tak sedar itu, saya dibayangi sebuah kereta datang dari arah bertentangan memasuki laluan kereta saya. Sekelip mata, saya tersedar dan beristighfar. Sempat juga saya melafazkan lafaz syukur, Alhamdulillah.

Kemudian, saya meninggalkan adik saya berserta 2 orang sahabatnya di sekolah mereka. Tinggal seorang lagi penumpang. Perjalanan diteruskan. Beberapa tika kereta beredar meninggal sekolah adik saya, sekali lagi saya terpejam mata kerana keletihan. Dan sekali lagi bayangan sebuah kereta cuba merempuh dari arah bertentangan. Saya terjaga dan terkedu seketika. MasyaAllah!

Saya cuba mengeleng-ngelengkan kepala dan cuba memfokuskan minda pada alunan Ayat-ayat Suci Al-Quran yang bergema itu. Walaupun begitu, perasaan mengantuk masih lagi menguasai fikiran saya. Berkali-kali saya terlelap tanpa saya sedari, sehinggalah saya memandu di Jalan Pengkalan Chepa. Pada ketika itu, sekali lagi saya tertidur, dan tanpa saya sedari, tangan saya tersentak (rasanya) dan sejurus itu, kereta saya sedikit terbabas dan terkena divider (penghadang jalan di tengah). Dan berlakulah pertembungan antara kereta Iswara dengan divider jalan. Satu dentuman kuat kedengaran. Dengan sepantas kilat, saya membalas arah stereng kereta memasuki landasan yang asal.

Penumpang di belakang tersentak dari tempat duduk kerana terkejut 'sakan'. Hati yang tadi tenang dibuai mimpi yang indah tak indah, terus segar-bugar. Mata yang kuyup dan menyempit, terbeliak dibuatnya. Segala kedamaian dan ketenangan yang dikecapi, hilang serta-merta. Alunan Al-Quran tidak lagi dipedulikan (buat masa ini la). Hati terus berkecamuk. Debaran semakin terasa.

"Habislah kereta!" Itulah perkataan pertama yang muncul dari mulut hati saya. Perkara pertama yang bermain ligat dalam kepala saya ketika itu ialah tengkingan oleh Ayah yang disayangi. Ini dah masuk kali ke berapa kereta Iswara miliknya tercedera akibat kecuaian saya. Tapi, kali ini lebih teruk. Betul-betul berlanggar dengan divider yang menghasilkan pekikan suara kereta yang kuat. Seolah-olah mengaduh kesakitan. Nasib baiklah ada divider. Kalau tidak, sudah tentu kereta saya akan terbabas memasuki lorong yang bertentangan di kala traffik yang betul-betul sibuk ketika itu. Walaupun begitu, semuanya dalam perancangan ALLAH Yang Maha Mengatur.

Selepas selesai menghantar penumpang terakhir (yang masih berada dalam keadaan kaku itu...hehe), saya menuju ke masjid berhampiran, Masjid Muhammadi. Sebaik sahaja kereta itu selamat diparking, disemak dan diperiksa akan keadaan kereta. Alhamdulillah, kerosakkan yang dialami tidak seteruk seperti yang dibayangkan. Di kala itu, hati dan otak ini berada dalam keadaan hairan, bagaimana bunyi yang sekuat itu hanya meninggal calar-balar sahaja ? Beserta dengan sebilangan toresan pada badan dan tayar kereta? Walaupun begitu, mulut ini memanjang beristighfar dan bertahmid. Terima kasih, Ya ALLAH!





Selesai menunaikan beberapa perkara sunat di masjid yang disinggahi, saya kembali memandu. Sekarang, destinasi saya ialah rumah seorang kawan. Dalam masa itu, semua memori kembali menyinggah di benak fikiran saya. Terus terdetik di hati akan kenapa ini semua boleh terjadi? Pada masa yang sama, terdetik juga untuk berkongsi pengalaman yang mengerikan (tapi manis kerana sesuatu pengalaman itu tidak boleh dijual beli) bersama pembaca blog yang saya kasihi sekalian.


"HIDUP DI DUNIA, INSAN MUDAH ALPA DAN LEKA"

-----------------------------------

Nasihat dan pengajaran yang boleh dititik beratkan :-

1. Kekadang, kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Walaupun begitu, bagi sesetengah keadaan dan perkara, ALLAH memperlihatkan tanda-tanda akan berlakunya sesuatu. Contohnya tanda-tanda Hari Kiamat. Begitulah juga (pada hemah penulis sahaja) dengan bayangan 2 kereta yang hampir melanggar kereta penulis sebelum tercetusnya kemalangan tersebut. Jadi, apabila terlihatnya sesuatu yang tidak pernah kita alami, bersiap-sedialah. Mungkin ada sesuatu sudah tersedia untuk anda di hadapan sana. Bi iznillah.

2. Memandu dalam keadaan mengantuk boleh disamakan dengan keadaan seseorang yang sedang berjalan tanpa haluan. Ikut sahaja kaki hendak ke mana. Selagi mana bertenaga, selagi itulah kaki akan terus melangkah. Ya! Bila datangnya satu kemalangan (atau diertikan dengan ujian), perasaan mengantuk ini akan terus hilang. Begitulah dengan kaki yang tadinya berjalan tanpa arah tujuan, terhenti tiba-tiba. Umpama jatuh ke dalam lubang besar. Pabila tersedar diri berada dalam kegelapan (dalam lubang), diri akan berusaha untuk memanjat keluar dari lubang itu. Selepas berjaya, diri akan jadi lebih berwaspada. Kaki yang dahulunya dibiarkan berjalan tanpa panduan dan didikan, akan diberi perhatian. Agar tidak terjatuh lagi ke dalam lubang yang sama atau lubang yang lebih besar.
Ya! Beginilah ujian bertindak. Sebagai pemberi kesedaran kepada diri yang lalai dan sekali gus menjadikan diri lebih berwaspada pada masa mendatang.

3. Mangsa kemalangan kebanyakannya (bukan semua), akan merenung kembali, apakah kesilapan atau kelalaian yang telah dia lakukan sehingga tercetusnya kemalangan tersebut? Adakah dia memandu dengan laju? Atau berbual menggunakan telefon bimbit di kala kereta memecut laju? Atau sedang rancak berborak dengan rakan sebelah? Atau memandu dalam keadaan mengantuk? Ya! Apabila berlaku satu peristiwa buruk ke atas kita, kita akan merenung kembali salah dan silap kita. Itulah antara sebab musabab ALLAH menurunkan bala' dan musibah kepada hamba-hambaNya. Agar mereka kembali sedar akan dosa-dosa yang telah mereka lakukan dan segera insaf dan bertaubat. InsyaALLAH.
" BERHATI-HATILAH DI JALAN RAYA,
BERHATI-HATILAH DI DUNIA FANA"

Assalamualaikum.
"Always remember ALLAH"